Warkah Buat Bonda...  

Posted by: Nurul in

Assalamualaikum,

Kehadapan bondaku yang kini sedang berkursus di Pulau Pinang, semoga berada di dalam keadaan sihat dan dilimpahi rahmat dariNya. Sebelum memulakan bicara, anakanda ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berjaya kepada bonda. Semoga bonda dapat menamatkan kursus tersebut dan dinaikkan pangkat. Diharapkan bonda tidak akan lupa dengan janji-janji bonda jika berjaya mendapat DG52.

Bonda,

Bagaimanakah kesihatan ayahanda? Adakah dia masih lagi mengamalkan pemakanan yang sihat seperti yang disarankan oleh doktor? Oh, mungkin soalan tersebut perlu anakanda tanyakan sendiri kepadanya kerana bonda sekarang tidak berada di rumah. Anakanda di perantauan ini sihat-sihat adanya, malah anakanda rasa bertambah-tambah sihat dengan adanya dapur besar di rumah anakanda sekarang. Ditambah pula dengan periuk kukus pemberian bonda, sememangnya menggugat keimanan anakanda untuk berdiet.

Bonda,

Tujuan sebenar anakanda mengutuskan warkah ini adalah untuk membuat satu permintaan. diharapkan bonda dan ayahanda dapatlah mempertimbangkan permintaan anakanda yang tidak seberapa ini. Sepertimana yang bonda sedia maklum, dua buah kamera digital yang telah anakanda beli suatu masa dahulu sudah hilang dari simpanan anakanda. Mungkin sudah ditakdirkan anakanda sememangnya tidak mempunyai tuah bersama kamera tersebut. Oleh itu, anakanda ingin meminta jasa baik bonda dan ayahanda untuk menghadiahkan sebuah kamera digital baru sebagai hadiah hari lahir anakanda yang sudahpun tiba pada awal bulan dahulu.

Bonda,

Bukannya tujuan anakanda ingin mengambil kesempatan di atas hari lahir anakanda, tetapi sememangnya anakanda sudah berputus asa untuk membeli sendiri kamera digital baru untuk diri anakanda kerana anakanda bimbang berkara yang sama mungkin berulang. Anakanda tidak sanggup untuk melihat pisang berbuah tiga kali kerana sebelum ini, pisang tersebut sudah dua kali berbuah. Anakanda amat berharap agar permintaan anakanda ini dapat ditunaikan.

Bonda,

Di sini juga anakanda ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kerana wang insuran kereta untuk bulan ini tidak dapat anakanda bayar. Terima kasih anakanda ucapkan kerana bonda telah melunaskan wang ansuran laptop anakanda yang terakhir. Jika bonda berhasrat untuk membelikan sebuah laptop baru lagi untuk anakanda, kecil tapak tangan, pantai Tok Jembal anakanda tadahkan.

Akhir kata, sambutlah salam sayang penuh kerinduan dari anakanda yang jauh di perantauan. Anakanda akan pulang dalam masa sepurnama lagi. Diharapkan bonda dapat menyediakan makanan kegemaran anakanda tatkala anakanda pulang ke rumah nanti. sampaikan juga salam sayang anakanda kepada ayahanda, adinda-adinda, dan juga popo.

Sekian,
Wassalam...

This entry was posted on Monday, February 23, 2009 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 orang rajin komen...

Post a Comment